Penghuraian label privasi WhatsApp di App Store Apple
Apple baru-baru ini telah menetapkan bahawa semua aplikasi yang diedarkan melalui App Store memaparkan butiran yang bertujuan untuk menunjukkan kepada orang ramai cara data mereka mungkin digunakan. Kami menyokong ketelusan, itulah sebabnya kami menyediakan cara untuk pengguna memuat turun maklumat berkaitan dengan akaun mereka. Kami berusaha sedaya upaya membina WhatsApp agar dapat melindungi privasi pengguna kami dan memastikan mereka menyedari perkara ini pada permulaan setiap perbualan.
Ciri penyulitan hujung ke hujung digunakan dalam setiap aplikasi kami sejak tahun 2016, ini bermaksud panggilan, mesej, foto, video dan nota suara kepada rakan dan keluarga hanya boleh dikongsikan dengan penerima yang diingini sahaja, tiada orang lain (termasuk kami) yang dapat membaca atau mendengar sembang anda. Melalui ciri penyulitan hujung ke hujung, mesej tidak disimpan pada pelayan kami setelah dihantar dan dalam proses normal pengendalian perkhidmatan kami, kami tidak menyimpan rekod orang yang anda mesej.
Kami harus mengumpulkan beberapa maklumat untuk memberikan perkhidmatan komunikasi global yang boleh dipercayai. Sebagai prinsip, kami meminimumkan kategori data yang kami kumpulkan. Untuk jenis data terhad yang kami kumpulkan, kami mengambil langkah untuk menyekat akses kepada maklumat tersebut. Sebagai contoh, walaupun anda memberi kami akses kepada kenalan anda bagi membantu menyampaikan mesej yang anda hantar, kami tidak berkongsi senarai kenalan dengan sesiapa, termasuklah untuk kegunaan Facebook sendiri. Kami menyediakan penjelasan lebih lanjut di Pusat Info kami, Dasar Privasi, dan Terma Perkhidmatan.
Di bawah menunjukkan label WhatsApp yang dipaparkan di App Store Apple dan maklumat tambahan tentang penggunaan data yang tidak dilindungi oleh penyulitan hujung ke hujung. Harap maklum bahawa beberapa item di bawah hanya digunakan untuk ciri opsyenal yang boleh digunakan oleh orang ramai; kami tidak mengumpul semua item di bawah secara automatik. Kebanyakan ciri opsyenal ini, seperti ciri membeli-belah dan pembayaran, adalah unik kepada WhatsApp dan tidak ditawarkan oleh penyedia pemesejan lain yang menggunakan ciri penyulitan hujung ke hujung.
- Maklumat kenalan: Apabila anda mendaftar untuk WhatsApp, kami menerima nombor telefon anda dan bergantung pada maklumat ini untuk menyampaikan mesej kepada peranti anda. Jika anda ingin mendayakan ciri pengesahan dua langkah, anda boleh memilih untuk berkongsi alamat e-mel anda dengan WhatsApp, walaupun ini tidak wajib. Anda juga boleh memilih untuk menghantar e-mel kepada WhatsApp untuk mendapatkan sokongan.
- Pengecam: Kami mengaitkan nombor telefon anda sebagai ID pengguna WhatsApp, dan mengetahui alamat IP daripada telefon anda yang disambungkan kepada WhatsApp.
- Lokasi kasar: Walaupun kami tidak dapat melihat lokasi anda dengan tepat, kami tahu alamat IP dan kod negara anda daripada nombor telefon anda.
- Kenalan: Untuk memudahkan anda menghantar mesej kepada rakan dan keluarga, apabila anda mendaftar untuk WhatsApp, kami akan meminta akses kepada nombor telefon anda untuk mengenal pasti nombor yang telah disahkan dalam sistem kami. Jika anda memilih untuk berbuat demikian, aplikasi akan memaparkan nama yang anda pilih daripada buku alamat anda, dan kami tidak berkongsi sebarang maklumat ini dengan Facebook. Ketahui lebih lanjut di sini.
- Data penggunaan: Untuk mengendalikan perkhidmatan global yang boleh dipercayai, kami harus memahami sama ada ciri tersebut adalah produktif, walaupun kami sedang menguji cara melakukan ini tanpa mengidentifikasi sesiapa. Untuk menghalang penyalahgunaan, kami mengambil tindakan terhadap akaun yang terlibat dengan pemesejan pukal atau automatik, yang dilihat sebagai hal penting semasa pilihan raya apabila kumpulan tertentu mungkin cuba untuk menghantar mesej dalam jumlah yang banyak. Kami juga menaja kempen pemasaran, termasuk menggunakan rangkaian iklan Apple, untuk mencapai orang yang belum menggunakan WhatsApp pada masa ini. Kami juga berkomunikasi dengan pengguna dalam aplikasi tentang ciri produk dan pengemaskinian baharu, serta untuk menyediakan pendidikan pengguna.
- Diagnostik: Sekiranya anda mengalami masalah menggunakan WhatsApp, kami menerima log ranap yang membolehkan kami membaiki pepijat dan menambah baik perkhidmatan kami.
Opsyen tambahan yang kami sediakan:
- Maklumat kewangan: Bagi negara yang boleh anda hantarkan bayaran melalui WhatsApp, kad atau maklumat bank anda diperlukan untuk melengkapkan transaksi.
- Pembelian: Jika anda memilih untuk menggunakan Kedai Facebook di WhatsApp, kami akan dapat memahami aktiviti membeli-belah anda, seperti produk yang anda lihat dan beli, dan kami berkongsi maklumat ini dengan Facebook memandangkan Kedai adalah produk Facebook. Ini bermakna bahawa pengalaman pelayaran dan pembelian produk di Kedai mungkin mempengaruhi perkara yang anda lihat di Kedai dan produk Facebook lain. Sebelum menggunakan Kedai Facebook di WhatsApp, kami akan memaklumi dan meminta persetujuan anda.
- Kandungan pengguna: Kami menerima maklumat "perihalan" anda serta foto profil, nama grup, foto profil grup dan deskripsi grup. Kami bergantung pada maklumat ini untuk menghalang penyalahgunaan, termasuk menyekat akaun yang berkongsi imej bersifat mengeksploitasi kanak-kanak. Di samping itu, jika anda memilih untuk melaporkan masalah kepada WhatsApp, kami menerima apa yang telah anda pilih untuk hantarkan kepada kami.