Perihal ciri penyulitan hujung ke hujung

Privasi dan keselamatan adalah teras kami, oleh sebab itulah kami membina ciri penyulitan hujung ke hujung dalam aplikasi kami. Apabila disulitkan hujung ke hujung, mesej, foto, video, mesej suara, dokumen, pengemaskinian status dan panggilan anda dilindungi daripada jatuh ke tangan yang salah.
Pemesejan peribadi
Penyulitan hujung ke hujung WhatsApp digunakan apabila anda bersembang dengan orang lain menggunakan WhatsApp Messenger. Penyulitan hujung ke hujung memastikan hanya anda dan orang yang berkomunikasi dengan anda boleh membaca atau mendengar mesej yang dihantar, tiada orang perantaraan, walaupun WhatsApp. Ini kerana dengan ciri penyulitan hujung ke hujung, mesej anda dilindungi dengan kunci, dan hanya penerima dan anda sahaja yang mempunyai kunci khas yang diperlukan untuk membuka dan membaca mesej. Semua ini berlaku secara automatik: Tidak perlu menghidupkan tetapan khas untuk melindungi mesej anda.
Pemesejan perniagaan
Setiap mesej WhatsApp dilindungi oleh protokol penyulitan Signal yang melindungi mesej sebelum dihantar keluar daripada peranti anda. Apabila anda menghantar mesej kepada akaun perniagaan WhatsApp, mesej anda dihantar dengan selamat ke destinasi yang dipilih oleh perniagaan tersebut.
WhatsApp menganggap sembang dengan perniagaan yang menggunakan aplikasi WhatsApp Business atau yang mengendali dan menyimpan mesej pelanggan mereka sendiri, akan disulitkan hujung ke hujung. Setelah mesej diterima, amalan pengendalian adalah tertakluk kepada amalan privasi perniagaan tersebut. Perniagaan mungkin melantik beberapa orang pekerja atau vendor lain untuk memproses dan membalas mesej.
Sesetengah perniagaan1 akan dapat memilih syarikat induk WhatsApp, iaitu Meta, untuk menyimpan mesej dan membalas kepada pelanggan dengan selamat. Walaupun Meta tidak akan menggunakan mesej anda untuk melaporkan iklan yang anda lihat secara automatik, perniagaan akan dapat menggunakan sembang yang mereka terima untuk tujuan pemasaran, yang mungkin termasuk pengiklanan di Meta. Anda boleh menghubungi perniagaan tersebut untuk mengetahui lebih lanjut tentang amalan privasi mereka.
Nota: Status penyulitan sembang yang disulitkan hujung ke hujung tidak boleh ditukar tanpa membuatkan pertukaran itu jelas kepada pengguna. Untuk maklumat lanjut tentang sembang yang disulitkan hujung ke hujung, sila baca kertas putih kami.
Pembayaran
Pembayaran di WhatsApp, yang tersedia di negara-negara tertentu, membolehkan pemindahan wang antara akaun di institusi kewangan. Kad dan nombor bank disimpan secara tersulit dan dalam rangkaian yang sangat selamat. Namun, oleh kerana institusi kewangan tidak dapat memproses transaksi tanpa menerima maklumat yang berkaitan dengan pembayaran ini, maka pembayaran ini tidak disulitkan hujung ke hujung.
Apakah skrin "Sahkan Kod Keselamatan" pada skrin info kenalan?
Sembang yang disulitkan hujung ke hujung antara anda dengan seseorang mempunyai kod keselamatan tersendiri yang digunakan untuk mengesahkan bahawa panggilan dan mesej yang anda hantar kepada sembang tersebut disulitkan hujung ke hujung.
Nota: Proses pengesahan adalah opsyenal untuk sembang yang disulitkan hujung ke hujung, dan hanya digunakan untuk mengesahkan bahawa panggilan serta mesej yang anda hantar disulitkan hujung ke hujung.
Kod ini boleh didapati pada skrin info kenalan, sebagai kod QR dan nombor 60 digit. Kod berikut adalah unik bagi setiap sembang individu dan boleh dibandingkan antara individu dalam setiap sembang untuk mengesahkan bahawa mesej yang anda hantar kepada sembang disulitkan hujung ke hujung. Kod keselamatan ialah kunci khas versi boleh dilihat yang dikongsikan antara anda berdua - dan jangan risau, itu bukan kunci sebenar, kunci sebenar sentiasa dirahsiakan. Apabila anda mengesahkan bahawa sembang disulitkan hujung ke hujung, ini juga akan mengesahkan bahawa senarai peranti terpaut anda dan kenalan adalah terkini.
Untuk mengesahkan bahawa sembang individu disulitkan hujung ke hujung:
  1. Buka sembang.
  2. Ketik pada nama kenalan untuk membuka skrin info kenalan.
  3. Ketik Penyulitan untuk melihat kod QR dan nombor 60 digit.
    • Nota: Ciri ini hanya tersedia untuk kenalan yang berada dalam sembang yang disulitkan hujung ke hujung.
Jika anda dan kenalan anda berada dalam jarak yang dekat secara fizikal, anda boleh saling mengimbas kod QR masing-masing atau membandingkan nombor 60 digit secara visual. Jika kod QR anda adalah sama apabila diimbas, satu tanda semak hijau akan muncul. Memandangkan kod itu sepadan, anda boleh berasa yakin bahawa tiada sesiapa yang dapat memintas mesej atau panggilan anda.
Jika anda dan kenalan anda tidak berada dalam jarak yang dekat secara fizikal, anda boleh menghantar kepada mereka nombor 60 digit tersebut menggunakan platform lain. Maklumkan kenalan anda bahawa selepas mereka menerima kod, mereka perlu mencatatkan kod tersebut dan kemudian membandingkan kod itu secara visual dengan nombor 60 digit yang muncul pada skrin info kenalan di bawah Penyulitan. Untuk Android dan iPhone, anda boleh menggunakan butang Kongsi pada skrin Sahkan Kod Keselamatan untuk menghantar nombor 60 digit melalui SMS, e-mel, dan sebagainya.
Jika kod tidak sepadan, kemungkinan anda mengimbas kod kenalan yang lain atau nombor telefon yang berbeza. Jika kenalan anda telah memasang WhatsApp semula, menukar telefon, atau menambah atau mengalih keluar peranti terpaut baru-baru ini, kami mengesyorkan anda agar menyegarkan kod semula dengan menghantar mesej baharu kepada mereka dan kemudian mengimbas kod tersebut. Ketahui lebih lanjut tentang perubahan kod keselamatan dalam artikel ini.
Sila ambil perhatian bahawa sekiranya anda atau kenalan menggunakan WhatsApp pada berbilang peranti, anda perlu mengesahkan kod keselamatan pada semua peranti anda dan kenalan anda.
Mengapakah WhatsApp menawarkan ciri penyulitan hujung ke hujung, dan apakah maksud menjaga keselamatan individu?
Keselamatan adalah penting bagi perkhidmatan yang disediakan oleh WhatsApp. Kita telah melihat beberapa contoh jenayah penggodaman yang berjaya mendapatkan bilangan data peribadi yang banyak secara haram dan telah menyalahgunakan teknologi untuk menyakiti orang dengan mencuri maklumat mereka. Sejak menyelesaikan pelaksanaan penyulitan hujung ke hujung pada tahun 2016, keselamatan digital menjadi semakin penting.
WhatsApp tidak mempunyai keupayaan untuk melihat kandungan mesej atau mendengar panggilan yang disulitkan hujung ke hujung. Ini kerana penyulitan dan pengenyahsulitan mesej yang diterima dan dihantar pada WhatsApp berlaku secara keseluruhannya pada peranti anda. Sebelum satu-satu mesej meninggalkan peranti anda, mesej tersebut dilindungi dengan kunci kriptografi, dan hanya penerima dapat membukanya. Di samping itu, kunci tersebut bertukar bagi setiap mesej yang dihantar. Sementara semua ini berlaku di belakang layar, anda boleh mengesahkan perbualan anda selamat dengan menyemak kod pengesahan keselamatan pada peranti anda. Anda boleh mendapatkan maklumat tambahan tentang cara ciri ini berfungsi pada kertas putih kami.
Sudah tentu, ramai orang telah bertanya maksud penyulitan hujung ke hujung bagi mereka yang bekerja dalam bidang penguatkuasaan undang-undang. WhatsApp menghargai kerja yang dilakukan oleh pihak penguatkuasaan undang-undang untuk melindungi individu di serata dunia. Kami menyemak, mengesahkan, dan membalas dengan cermat permintaan penguatkuasa undang-undang berdasarkan undang-undang dan dasar yang terpakai, dan kami mengutamakan respons terhadap permintaan kecemasan. Sebagai sebahagian daripada usaha pendidikan kami, kami telah menyiarkan maklumat untuk penguatkuasa undang-undang tentang maklumat terhad yang kami kumpul dan cara mereka boleh meminta maklumat daripada WhatsApp, yang boleh anda baca di sini.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang keselamatan anda di WhatsApp, sila lawati Keselamatan WhatsApp.
1Tahun 2021.
Adakah jawapan ini menjawab pertanyaan anda?
Ya
Tidak