Menjawab soalan anda tentang pengemaskinian Dasar Privasi Januari 2021 WhatsApp

Terakhir diedit: Mei 2024
Pada Januari 2021, kami mula melancarkan Dasar Privasi yang dikemaskinikan dan kami ingin menjawab beberapa soalan lazim yang ditanya oleh orang ramai. Kami berusaha sedaya upaya membina WhatsApp dengan cara yang dapat membantu orang ramai berkomunikasi secara peribadi.
Kami ingin menjelaskan bahawa pengemaskinian dasar tidak menjejaskan privasi mesej anda dengan rakan atau keluarga dalam apa jua cara. Perubahan ini berkaitan dengan ciri perniagaan opsyenal pada WhatsApp, dan memberikan kejelasan tentang cara kami mengumpulkan dan menggunakan data. Ketahui lebih lanjut tentang ciri perniagaan baharu dan pengemaskinian Dasar Privasi WhatsApp di sini.

Privasi dan keselamatan pemesejan peribadi anda

Kami tidak dapat melihat mesej peribadi anda atau mendengar panggilan anda, begitu juga Meta: WhatsApp mahupun Meta tidak dapat membaca mesej anda atau mendengar panggilan anda dengan rakan, keluarga dan rakan sekerja anda di WhatsApp. Setiap perkara yang anda kongsikan kekal antara anda dengan penerima. Hal ini demikian kerana mesej peribadi anda dilindungi dengan penyulitan hujung ke hujung. Kami tidak akan mengkompromikan keselamatan pengguna dan kami melabelkan setiap sembang dengan jelas agar anda yakin dengan komitmen kami. Ketahui lebih lanjut tentang keselamatan WhatsApp di sini.
Kami tidak menyimpan log tentang individu yang dihubungi oleh semua orang melalui mesej atau panggilan: Walaupun secara tradisional pembawa dan pengendali perkhidmatan mudah alih menyimpan maklumat ini, kami percaya bahawa menyimpan rekod ini untuk dua bilion pengguna membawa risiko privasi dan keselamatan dan atas sebab itu kami tidak berbuat demikian.
Kami tidak dapat melihat lokasi anda yang dikongsi, begitu juga Meta: Apabila anda berkongsi lokasi dengan seseorang di WhatsApp, lokasi anda dilindungi oleh penyulitan hujung ke hujung, yang bermaksud tiada sesiapa yang dapat melihat lokasi anda kecuali orang yang anda kongsikan lokasi tersebut.
Kami tidak berkongsi kenalan anda dengan Meta: Apabila anda memberikan keizinan kepada kami, kami hanya mengakses nombor telefon daripada kenalan peranti anda untuk menjadikan pemesejan pantas dan boleh dipercayai, serta kami tidak berkongsi senarai kenalan anda dengan aplikasi lain yang ditawarkan oleh Meta.
Kumpulan kekal peribadi: Kami menggunakan keahlian kumpulan untuk menyampaikan mesej dan untuk melindungi perkhidmatan kami daripada spam dan penyalahgunaan. Kami tidak berkongsi data ini dengan Meta bagi tujuan pengiklanan. Sekali lagi, sembang peribadi ini adalah disulitkan hujung ke hujung, jadi kami tidak dapat melihat kandungan sembang.
Anda boleh menetapkan mesej anda untuk hilang: Untuk mendapatkan privasi tambahan, anda boleh memilih untuk menetapkan mesej anda menghilang daripada sembang selepas anda menghantar mesej tersebut. Ketahui lebih lanjut dalam artikel Pusat Bantuan ini.
Anda boleh memuat turun data anda: Anda boleh memuat turun dan melihat maklumat yang kami ada pada akaun anda terus dari dalam aplikasi. Ketahui lebih lanjut dalam artikel Pusat Bantuan ini.

Pemesejan perniagaan dan cara kami bekerjasama dengan Meta

Setiap hari, berjuta orang di seluruh dunia berkomunikasi dengan perniagaan pelbagai saiz dengan selamat melalui WhatsApp. Kami ingin menjadikan komunikasi ini lebih mudah dan lebih baik bagi anda jika anda ingin bermesej dengan perniagaan. Kami akan sentiasa bertindak dengan jelas dalam WhatsApp apabila anda berkomunikasi dengan mana-mana perniagaan yang menggunakan ciri ini.
API Awan dihoskan oleh Meta: Pemesejan dengan perniagaan adalah berbeza dengan pemesejan dengan keluarga atau rakan anda. Sesetengah perniagaan besar perlu menggunakan perkhidmatan pengehosan untuk mengendalikan hal komunikasi mereka. Sebab itulah kami memberikan pilihan kepada perniagaan untuk menggunakan perkhidmatan pengehosan yang dijamin daripada Meta untuk mengendalikan sembang WhatsApp dengan pelanggan mereka, menjawab soalan, dan menghantar maklumat berguna seperti resit pembelian. Tetapi sama ada anda berkomunikasi dengan perniagaan melalui telefon, e-mel atau WhatsApp, perniagaan tersebut dapat melihat mesej anda dan mungkin menggunakan maklumat tersebut untuk tujuan pemasaran mereka, termasuk pengiklanan di Meta. Untuk memastikan anda dimaklumkan, kami melabelkan perbualan dengan perniagaan yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan pengehosan daripada Meta dengan jelas.
Menemukan perniagaan: Anda mungkin melihat iklan pada Facebook atau Instagram dengan butang untuk menghantar mesej kepada perniagaan dengan menggunakan WhatsApp. Sekiranya anda telah memasang WhatsApp pada telefon anda, anda mempunyai pilihan untuk menghantar mesej kepada perniagaan tersebut. Meta mungkin menggunakan cara anda berinteraksi dengan iklan ini untuk memperibadikan iklan yang anda lihat pada Facebook atau Instagram.
Meta Pay di WhatsApp: Di negara yang tersedia dengan ciri Pembayaran, dasar privasi pembayaran WhatsApp yang berasingan diguna pakai, yang boleh anda akses di sini. Dasar privasi tersebut tidak terjejas dengan pengemaskinian ini.

Adakah jawapan ini menjawab pertanyaan anda?

Ya
Tidak