Menjawab pertanyaan anda tentang pengemaskinian Dasar Privasi Januari 2021 WhatsApp

Pada Januari 2021, kami telah mula mengeluarkan Dasar Privasi yang telah dikemas kini, dan kami telah menerima banyak soalan yang bernas. Seiring dengan khabar angin yang sedang menular, kami ingin menjawab beberapa soalan lazim yang telah kami terima. Kami berusaha sedaya upaya membina WhatsApp dengan cara yang dapat membantu orang ramai berkomunikasi secara peribadi.
Kami ingin menjelaskan bahawa pengemaskinian dasar tersebut tidak akan sama sekali menjejaskan privasi mesej anda dengan rakan-rakan mahupun keluarga. Perubahan ini adalah berkaitan ciri perniagaan opsyenal pada WhatsApp dan memberikan kejelasan tentang cara kami mengumpul dan menggunakan data. Ketahui lebih lanjut tentang ciri perniagaan baharu dan pengemaskinian Dasar Privasi WhatsApp di sini.
Privasi dan keselamatan pemesejan peribadi anda
Kami tidak dapat melihat mesej peribadi atau mendengar panggilan anda, begitu juga Meta: WhatsApp mahupun Facebook tidak dapat membaca mesej atau mendengar panggilan WhatsApp anda dengan rakan-rakan, keluarga dan rakan sekerja di WhatsApp. Setiap perkara yang anda kongsikan kekal antara anda dengan penerima. Ini kerana mesej peribadi anda dilindungi dengan penyulitan hujung ke hujung. Kami tidak akan mengkompromikan keselamatan pengguna dan kami melabelkan setiap sembang dengan jelas agar anda yakin dengan komitmen kami. Ketahui lebih lanjut tentang keselamatan WhatsApp di sini.
Kami tidak menyimpan log penghantaran mesej atau panggilan yang dibuat oleh pengguna: Walaupun biasanya pembekal dan pengendali perkhidmatan mudah alih menyimpan maklumat ini, kami percaya bahawa menyimpan rekod untuk dua bilion pengguna merupakan risiko privasi dan keselamatan, maka kami tidak menyimpannya.
Kami tidak dapat melihat lokasi yang anda kongsikan, begitu juga Meta: Apabila anda berkongsi lokasi anda dengan seseorang di WhatsApp, lokasi anda dilindungi dengan penyulitan hujung ke hujung, yang bermaksud tiada sesiapa yang dapat melihat lokasi anda kecuali orang yang anda kongsikan lokasi tersebut.
Kami tidak berkongsi senarai kenalan anda dengan Meta: Apabila anda memberikan kebenaran kepada kami, kami hanya mengakses nombor telefon daripada buku alamat anda untuk membuatkan pemesejan cepat dan selamat, dan kami tidak berkongsi senarai kenalan anda dengan aplikasi lain yang Meta tawarkan.
Grup kekal peribadi: Kami menggunakan keahlian grup untuk menghantar mesej dan untuk melindungi perkhidmatan kami daripada spam dan penyalahgunaan. Kami tidak berkongsi data ini dengan Meta bagi tujuan pengiklanan. Sembang peribadi ini adalah disulitkan hujung ke hujung, jadi kami tidak dapat melihat kandungannya.
Anda boleh menetapkan agar mesej anda dihilangkan: Untuk privasi tambahan, anda boleh memilih untuk menetapkan agar mesej anda dihilangkan daripada sembang selepas anda menghantar mesej tersebut. Ketahui lebih lanjut dalam artikel Pusat Info ini.
Anda boleh memuat turun data anda: Anda boleh memuat turun dan melihat matlumat yang kami simpan berkenaan akaun anda daripada dalam aplikasi. Ketahui lebih lanjut dalam artikel Pusat Info ini.
Pemesejan perniagaan dan cara kami bekerjasama dengan Meta
Setiap hari, berjuta orang di seluruh dunia berkomunikasi dengan perniagaan pelbagai saiz dengan selamat melalui WhatsApp. Kami ingin menjadikannya lebih mudah dan lebih baik bagi anda jika anda ingin bermesej dengan perniagaan. Kami akan sentiasa bertindak dengan jelas apabila anda berkomunikasi dalam WhatsApp dengan mana-mana perniagaan yang menggunakan ciri ini.
API awan yang dihoskan oleh Meta: Bermesej dengan perniagaan adalah berbeza berbanding bermesej dengan keluarga dan rakan anda. Sesetengah perniagaan besar perlu menggunakan perkhidmatan pengehosan untuk mengendalikan hal komunikasi mereka. Sebab itulah kami memberikan pilihan kepada perniagaan untuk menggunakan perkhidmatan pengehosan yang selamat daripada Meta untuk mengendalikan sembang WhatsApp dengan pelanggan mereka, menjawab pertanyaan, dan menghantar maklumat berguna seperti resit pembelian. Tetapi sama ada anda berkomunikasi dengan perniagaan melalui telefon, e-mel atau WhatsApp, perniagaan tersebut dapat melihat mesej anda dan mungkin menggunakan maklumat tersebut untuk tujuan pemasaran mereka, termasuk pengiklanan di Meta. Untuk memastikan anda dimaklumkan, kami melabelkan perbualan dengan perniagaan yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan pengehosan daripada Meta dengan jelas.
Menemukan perniagaan: Anda mungkin melihat iklan di Facebook yang memaparkan butang untuk menghantar mesej kepada perniagaan menggunakan WhatsApp. Sekiranya anda telah memasang WhatsApp pada telefon anda, anda mempunyai pilihan untuk menghantar mesej kepada perniagaan tersebut. Facebook mungkin menggunakan cara anda berinteraksi dengan iklan tersebut untuk memperibadikan iklan yang anda lihat di Facebook.
Pembayaran di WhatsApp: Di negara yang ciri khidmat Pembayaran tersedia, dasar privasi pembayaran WhatsApp yang berasingan diguna pakai, yang boleh anda akses di sini. Dasar privasi tersebut tidak terjejas dengan pengemaskinian ini.
Adakah ini membantu?
Ya
Tidak