Cara WhatsApp Membantu Memerangi Eksploitasi Kanak-kanak

WhatsApp tidak akan bertolak ansur terhadap eksploitasi dan penderaan seksual terhadap kanak-kanak, dan kami menyekat pengguna apabila mendapat tahu bahawa mereka berkongsi kandungan yang mengeksploitasi dan membahayakan kanak-kanak. Kami juga melaporkan kandungan dan akaun tersebut kepada Pusat Kanak-Kanak Hilang dan Dieksploitasi Negara (National Center for Missing and Exploited Children, NCMEC) yang akan merujuk CyberTips ini dengan pihak Penguatkuasaan Undang-undang secara global. Kami mempunyai ciri dan kawalan yang membantu mencegah eksploitasi dan penderaan, dan kami mengupah khidmat pasukan khusus yang terdiri daripada pakar dalam penguatkuasaan undang-undang, dasar keselamatan dalam talian, penyiasatan, dan pembangunan teknologi untuk mengawasi usaha ini.
Mencegah Penyalahgunaan
WhatsApp dibina untuk pemesejan peribadi. Untuk melindungi privasi dan keselamatan pengguna, kami menyediakan penyulitan hujung ke hujung secara lalai, yang bermaksud hanya penghantar dan penerima dapat melihat kandungan mesej. Untuk memastikan pengguna kami selamat, kami berusaha untuk mencegah penyalahgunaannya dari awal. Berbeza daripada ruang awam yang lain, anda tidak boleh mencari orang yang anda tidak kenali di WhatsApp. Anda memerlukan nombor telefon seseorang untuk berhubung dengan mereka dan apabila anda menerima mesej pertama daripada seseorang yang tidak wujud dalam buku alamat anda, kami akan bertanya sekiranya anda ingin menyekat atau melaporkan mereka. 90% daripada mesej yang dihantar di WhatsApp adalah antara dua individu, dan purata saiz grup adalah kurang daripada 10 orang. Kami memberikan kawalan kepada pengguna untuk menentukan individu yang boleh menambahkan mereka pada grup, dan kami mengehadkan bilangan sembang yang boleh anda majukan sekali gus bagi membantu mengehadkan penyebaran kandungan tular yang memudaratkan.
Kami juga bekerjasama dengan penyedia gedung aplikasi untuk mencegah percambahan aplikasi yang mengandungi imej bersifat mengeksploitasi kanak-kanak (CEI) atau percubaan untuk menghubungkan orang ramai yang berminat untuk berkongsi kandungan seperti ini melalui pautan jemputan grup. Kami menyekat penyenaraian pautan jemputan oleh enjin carian popular.
Pengesanan
Untuk terus memerangi eksploitasi seksual kanak-kanak, WhatsApp bergantung pada semua maklumat tidak disulitkan yang tersedia, termasuk laporan pengguna, untuk mengesan dan mencegah penyalahgunaan seperti ini, dan kami sentiasa menambah baik teknologi pengesanan kami.
Kaedah pengesanan kami merangkumi penggunaan teknologi automatik lanjutan, termasuk teknologi padanan foto dan video, untuk secara proaktif mengimbas maklumat yang tidak disulitkan seperti foto profil dan grup serta laporan pengguna untuk tujuan CEI. Kami mempunyai teknologi tambahan untuk mengesan CEI baharu yang tidak diketahui dalam maklumat yang tidak disulitkan ini. Kami juga menggunakan pengelasan pembelajaran mesin untuk mengimbas permukaan teks, seperti profil pengguna dan keterangan grup, dan menilai maklumat dan tingkah laku grup untuk perkongsian CEI yang disyaki.
Bersama-sama dengan usaha pengesanan proaktif kami, WhatsApp menggalakkan pengguna untuk melaporkan kandungan bermasalah kepada kami. Pengguna juga boleh menyekat atau melaporkan akaun individu atau grup pada bila-bila masa. Ketahui lebih lanjut tentang cara untuk kekal selamat di WhatsApp di Pusat Info kami.
Menggunakan teknik ini, WhatsApp menyekat lebih daripada 300,000 akaun sebulan atas sebab perkongsian CEI yang disyaki.
Bekerjasama dengan Penguatkuasaan Undang-undang
WhatsApp mengiktiraf usaha yang dilakukan oleh pihak penguatkuasaan undang-undang untuk melindungi individu di serata dunia. Kami berhubung secara kerap dengan pihak penguatkuasaan undang-undang untuk memastikan mereka mengetahui cara untuk menghubungi kami dan memahami cara untuk membuat permintaan kepada WhatsApp. Pusat sumber Maklumat untuk Pihak Berkuasa Penguatkuasaan Undang-undang kami meliputi sistem dalam talian untuk pihak penguatkuasaan undang-undang mengemukakan permintaan undang-undang ini dengan selamat.
Apabila WhatsApp menyedari akan kehadiran CEI pada platform, kami akan menyekat akaun yang terlibat. Kami juga mengalih keluar imej tersebut dan melaporkannya bersama-sama dengan butiran akaun yang berkaitan kepada NCMEC bagi mematuhi undang-undang A.S.
Apabila NCMEC merujuk perkara kepada penguatkuasaan undang-undang untuk siasatan, WhatsApp bersedia untuk memberikan maklum balas kepada permintaan penguatkuasaan undang-undang yang sah dengan sewajarnya. WhatsApp telah menerima maklum balas daripada penguatkuasaan undang-undang bahawa usaha kami telah membantu menyelamatkan mangsa penderaan kanak-kanak.
Februari, 2021 (statistik penyekatan akaun berdasarkan analisis S4 2020)
Adakah ini membantu?
Ya
Tidak